love

Friday, 3 January 2014

Bertengkar Dengan Cara Selamat


Kebahagiaan dalam hidup bersuami isteri hanya akan wujud bila adanya sikap toleransi dan komunikasi unggul. Komunikasi unggul bermaksud adanya interaksi yang sihat, baik dan difahami antara suami isteri.

Takkan ada perkahwinan yang tidak pernah ada perselisihan faham. Bermaksud, pertengkaran suami isteri adalah biasa tetapi kita perlu pastikan pertengkaran tersebut tidak berlarutan sebaliknya memberikan manfaat. Biasanya pertengkaran boleh terjadi apabila timbul satu masalah atau kerumitan atau berlaku salah faham atau ada pihak yang lalai daripada tanggungjawab. Sekiranya pertengkaran ini tidak dibendung, ia boleh mencipta konflik yang berlarutan. Kerap kali juga dalam pertengkaran, masing-masing tidak mahu bertanggungjawab. Kesannya, mereka saling tuduh menuduh.

Untuk bertengkar dengan cara selamat, perkara paling penting ialah ubah sikap yang tidak mahu bertanggungjawab. Apabila kedua-dua belah pihak mahu mengaku bahawa masing-masing turut bersalah sehingga tercetusnya pertengkaran itu, barulah konflik ada harapan diselesaikan. Sekiranya anda dapati pasangan anda enggan mengaku bertanggungjawab, ambilah inisiatif memulakannya. Ingat! Walaupun anda dipersalahkan, jangan anda jawab dengan menyalahkan pasangan anda juga. Sebaiknya anda mendiamkan diri. Ya, anda mungkin mengalah tetapi bukan bererti anda bersalah atau kalah. Ini memang tindakan yang susah, tetapi hanya anda yang boleh mengawal mulut anda sendiri. Apabila anda menunjukkan sikap positif tersebut, ia boleh menghasilkan dua kesan baik. Pertama, ia dapat mencegah pertengkaran itu daripada bertambah buruk. Kedua, sikap positif itu mungkin ditiru pihak satu lagi.

Langkah kedua agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti bercakap mengenai perbezaan. Pertengkaran memang datang daripada perbezaan tetapi perbuatan suka membesar-besarkan perbezaan, akan mencetuskan pertentangan pendapat, perbalahan dan konflik yang lebih besar. Sikap suka memberi tumpuan kepada perbezaan datang daripada sikap yang suka berfikir secara negatif dan kritis. Cara berfikir yang begitu, sudah tentu menghasilkan sikap suka mencari kesalahan, kekurangan, kelemahan dan cacat-cela orang lain. Sikap sebegini tidak selamat untuk perkahwinan anda. Ingat! Walaupun suami isteri mempunyai perbezaan, antara kalian juga terdapat banyak persamaan dan sewajarnya, anda perlu mencari persamaan atau keserasian.

Biasanya, bila berkahwin dengan orang yang tak sama sikap, minat dan hobi, alasannya payah nak serasi. Bila berkahwin dengan orang yang sama sikap, sama minat dan sama hobi, alasan diberi adalah bosan dan tiada kelainan. Kalau selalu mencari dan mencipta alasan; nasi di tangan pun tak mampu ditelan. Pasangan ertinya saling menyempurnakan. Bila tak sama, ciptalah kesesuaian. Bila dah sama, cipta kelainan sebagai kejutan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara! Kalau tak nak, satu alasan menutup segala peluang yg ada!

Langkah ketiga agar bertengkar dengan selamat ialah berhenti mencari siapa yang menjadi punca pertengkaran. Bila terjadi sesuatu masalah, ramai yang suka mencari puncanya dalam diri orang lain. Tak kurang juga yang asyik menyalahkan diri sendiri. Hakikat sebenarnya, setiap yang berlaku bersebab dan sebabnya boleh berpunca daripada diri sendiri dan orang lain. Jalan terbaik, koreksi diri terlebih dahulu dan jangan lupa untuk perhatikan orang lain yang mungkin terlibat sama. Jangan terus menyalahkan hingga lupa jalan penyelesaian sebaliknya mulakanlah mencadangkan cara-cara penyelesaiannya. Jangan menambah keruh suasana. Kenang semula saat indah tika bersama. Ingat janji-janji yang dilafazkan bersama untuk membina mahligai bahagia. Sedarlah, anda dan pasangan anda masing-masing punya kelebihan dan keistimewaan. Bersatulah agar segala kekurangan dapat ditampung.

Masalah utama komunikasi sesama setiap insan hari ini termasuklah kes suami isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama-sama memahami akan dikecapi.

Satu perkara yang tak kurang pentingnya untuk jadikan pertengkaran perkara yang selamat dan tidak membawa mudharat ialah bermaafan sama ada memohon maaf atau memberi maaf. Maaf; dipinta atau diberi, perlulah sepenuh hati. Takkan hilang harga diri hanya dengan meminta maaf atau memberi maaf. Memang sukar melupakan tapi usahakanlah untuk memaafkan walau sukar sebab kemaafan anda bukan hanya untuk hidupnya di dunia tapi juga di akhirat sana. Maafkan dgn ikhlas; kesakitan beransur hilang. Maaf bukan hanya di mulut tapi lahirkan kemaafan daripada hati. Jika dapat memohon dan memberi maaf dengan hati yang ikhlas, memori luka yang masih di ingatan takkan lagi memedihkan. Allah SWT Maha Pengampun. Kita hanya hamba... hebatkah kita kerana enggan memaafkan?!!








No comments: